GAGAL KE UNIVERSITI BUKAN BERMAKNA MASA DEPAN GELAP

Setiap remaja menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Ia adalah satu ukuran dan lambang berprestij bagi setiap manusia normal. Impian dan cita-cita itu digenggam sejak kecil lagi. Ia bukan sahaja cita-cita dan harapan milik peribadi malahan juga turut dikongsi bersama oleh ahli-ahli kelurga terdekat. Namun setiap pelajar mempunyai tahap pencapaian akademik yang berbeza-beza. Ada yang cemerlang, sederhana dan tidak kurang juga yang lemah.


Bagi pelajar yang cemerlang sudah tentu menempuh jalan mudah untuk berjaya dalam memohon jurusan dan institut pengajian tinggi yang diingini. Namun, bagaimana pula yang kurang bernasib baik? Dalam hal ini, janganlah beranggapan masa depan sudah hancur. Hakikatnya banyak cara lain yang dapat dilakukan bagi menebus kegagalan pada masa lepas. Pelajar yang gagal menempatkan diri di universiti boleh memohon memasuki pusat-pusat pengajian yang setaraf dengan kelulusan dan kelayakan masing-masing yang juga menyajikan peluang dan masa depan yang cerah meskipun dalam jurusan dan aliran yang berbeza.


Tidak semua pelajar cenderung kepada bidang teori. Bagi mereka yang lebih cenderung kepada bidang teknikal dan kemahiran, mereka boleh mengikuti kursus yang banyak ditawarkan di institut-institut yang disediakan oleh pihak kerajaan. Kemahiran yang ada pada diri boleh digilap supaya mereka juga berjaya seperti orang lain. Berbekal sijil kemahiran itu, individu terbabit boleh mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan atau melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dan pakar. Minat yang disertai dengan keazaman mampu mengubah satu kegagalan kepada satu kejayaan yang tidak dijangkakan.


Jelaslah di sini, remaja mempunyai banyak pilihan yang tersedia dan terbentang luas dalam menentukan masa depan masing-masing. Jadikan kegagalan lalu sebagai pendorong kecemerlangan masa akan datang. Kegagalan mematangkan diri kita. Walaupun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading, anda masih mempunyai banyak haluan kejayaan lain. Rebutlah peluang yang ada, segalanya bergantung kepada anda. ‘pendayung ada di tangan masing-masing, perahu juga disediakan, maka dayunglah mengikut haluan masing-masing’, tetapi jangan sampai tersasar.

Read more

SEMBANG ATAS ANGIN

Apa yang anda lakukan sambil menanti bas tiba? Berbual-bual kosong? Memerhatikan orang-orang yang lalu-lalang di situ? Ataupun hanya termenung kosong? Kita sering mendengar remaja mengeluh tidak ada masa yang mencukupi untuk melakukan pelbagai aktiviti. Sememangnya tidak dapat dinafikan masa yang ada tidak mencukupi, tetapi kita masih mesti menjadikan masa yang terhad itu sebagai masa yang berkualiti.

Bagaimana yang dikatakan masa berkualiti? Aku pernah melihat sekumpulan pelajar yang sedang menanti bas sibuk membincangkan mengenai pelajaran yang dipelajari di sekolah. Perbincangan ini sebenarnya dipanggil sebagai perbincangan atas angin. Anda tidak perlu mengeluarkan buku yang tebal untuk perbincangan. Cukuplah sekadar membincangkan secara lisan apa yang diajar oleh guru ataupun pensyarah sepanjang hari itu. Anda hanya perlu mengimbas kembali pengetahuan anda. Apabila ada kekeliruan, anda boleh berbincang dengan rakan-rakan yang ikut serta dalam perbincangan itu. Sudah tentu banyak input yang diperoleh. Tambahan pula ia boleh dilakukan secara santai sambil menanti ketibaan bas.

Isu pengangguran di kalangan lepasan institut pengajian tinggi semakin meningkat. Salah satu faktor penyumbang kepada masalah ini adalah kurangnya pengetahuan mereka tentang isu semasa, selain kurang berkemahiran menguasai Bahasa inggeris dengan baik. Maka gantikan masa yang digunakan untuk berbual kosong sambil memerhati gelagat orang kepada pengisian dengan sembang-sembang berisi.

Sembang-sembang berisi adalah kandungan perbincangan kita merangkumi aspek-aspek keilmuan seperti isu semasa serta ilmu pengetahuan yang berguna. Jadi, tidak ada alas an sekiranya seseorang remaja itu tidak ada masa untuk mendapatkan maklumat tentang isu semasa. Padahal maklumat tersebut mudah diperoleh dalam tempoh masa yang singkat melalui perbincangan dengan rakan-rakan. Perbincangan itu sudah tentu tidak membosankan kerana dilakukan secara santai. Tambahan pula ia tidak memerlukan masa yang spesifik.

Read more

no SMOkInG!!