GAGAL KE UNIVERSITI BUKAN BERMAKNA MASA DEPAN GELAP

Setiap remaja menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Ia adalah satu ukuran dan lambang berprestij bagi setiap manusia normal. Impian dan cita-cita itu digenggam sejak kecil lagi. Ia bukan sahaja cita-cita dan harapan milik peribadi malahan juga turut dikongsi bersama oleh ahli-ahli kelurga terdekat. Namun setiap pelajar mempunyai tahap pencapaian akademik yang berbeza-beza. Ada yang cemerlang, sederhana dan tidak kurang juga yang lemah.


Bagi pelajar yang cemerlang sudah tentu menempuh jalan mudah untuk berjaya dalam memohon jurusan dan institut pengajian tinggi yang diingini. Namun, bagaimana pula yang kurang bernasib baik? Dalam hal ini, janganlah beranggapan masa depan sudah hancur. Hakikatnya banyak cara lain yang dapat dilakukan bagi menebus kegagalan pada masa lepas. Pelajar yang gagal menempatkan diri di universiti boleh memohon memasuki pusat-pusat pengajian yang setaraf dengan kelulusan dan kelayakan masing-masing yang juga menyajikan peluang dan masa depan yang cerah meskipun dalam jurusan dan aliran yang berbeza.


Tidak semua pelajar cenderung kepada bidang teori. Bagi mereka yang lebih cenderung kepada bidang teknikal dan kemahiran, mereka boleh mengikuti kursus yang banyak ditawarkan di institut-institut yang disediakan oleh pihak kerajaan. Kemahiran yang ada pada diri boleh digilap supaya mereka juga berjaya seperti orang lain. Berbekal sijil kemahiran itu, individu terbabit boleh mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan atau melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dan pakar. Minat yang disertai dengan keazaman mampu mengubah satu kegagalan kepada satu kejayaan yang tidak dijangkakan.


Jelaslah di sini, remaja mempunyai banyak pilihan yang tersedia dan terbentang luas dalam menentukan masa depan masing-masing. Jadikan kegagalan lalu sebagai pendorong kecemerlangan masa akan datang. Kegagalan mematangkan diri kita. Walaupun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading, anda masih mempunyai banyak haluan kejayaan lain. Rebutlah peluang yang ada, segalanya bergantung kepada anda. ‘pendayung ada di tangan masing-masing, perahu juga disediakan, maka dayunglah mengikut haluan masing-masing’, tetapi jangan sampai tersasar.

0 Response to "GAGAL KE UNIVERSITI BUKAN BERMAKNA MASA DEPAN GELAP"

Post a Comment

no SMOkInG!!